Johardy: Aura Kenny Dalglish meyakinkan

KETIKA mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ada kalangan pemain Liverpool FC bergurau untuk bertaruh mengatakan tiada sesiapa akan menyambut mereka pada pukul 4 pagi Khamis lalu. Itu waktu tidur.
Ternyata ‘pertaruhan’ mereka meleset sama sekali apabila mendapati sekitar 200 penyokong bersorak dan meriuhkan subuh yang tidak hening lagi di KLIA itu.
Sepanjang perjalanan menuju ke hotel di Bandar Utama, Damansara, berpuluh-puluh kereta mengiringi bas yang membawa mereka. Pemain Liverpool FC yang keletihan selepas bertarung dengan pasukan China beberapa jam sebelum itu, turut sama terkejut dengan sambutan awal yang mereka terima sejurus menjejak kaki buat pertama kali ke bumi Malaysia.
Di lobi hotel, Andy Carroll iaitu pemain England termahal dengan yuran perpindahan 35 juta pounds (RM175 juta) tergamam dan terlopong mulut menyaksikan ‘kontingen penyambut’ mereka menyorak dan melaungkan namanya. Pemain muda berusia 22 tahun itu baru sahaja menyertai Liverpool pada Januari lalu dan pertama kali menjejak kaki ke dunia sebelah sini. Beliau nyata terharu dan tidak menyedari sehingga Khamis lalu betapa penyokong kelabnya itu memiliki jutaan peminat di Asia. Dan seandainya sambutan di China tidak mencukupi untuk jadi bukti, pengalamannya di Malaysia pasti merubah pandangannya.

Kini, mereka tahu bahawa penyokong di Malaysia ada masanya beruntung dapat menyaksikan perlawanan pada waktu tenang iaitu sekitar 8 malam hingga 11 malam, dan ada yang terpaksa bersengkang mata menanti perlawanan yang bermula jam 4 pagi. Pemerhatian saya sepanjang mengikuti mereka selama tiga hari berturut-turut di ibu negara terhadap sikap para pemain adalah memuaskan. Pemain ternama Dirk Kuyt dan Jamie Carragher tidak sombong dan tidak menolak melayan permintaan peminat untuk bergambar dan menandatangani baju atau apa sahaja yang sempat (saya gantung baju bernombor 23 siap dengan autograph Carragher di dinding hari ini).
Malah, pengurus Kenny Dalglish berharap, sambutan yang diterima pemainnya di Malaysia dan lain-lain tempat di Asia, bakal member inspirasi kepada mereka untuk melakukan yang terbaik bagi meraih kemenangan kepada pasukan bila musim baru bermula 13 Ogos ini menentang Sunderland.
Rasa keseronokan ini mungkin sukar dimengerti oleh bukan peminat Liverpool FC. Penyokong lawan mencemuh mengapa sibuk dengan LFC sedangkan pasukan Reds paling akhir memenangi Liga Perdana Inggeris 20 tahun lalu dan telah dipotong oleh MUFC musim lalu dengan agregat 19-18 kejuaraan keseluruhan. Hujahnya pelbagai. Satu daripada factor utama ialah kemunculan semula legenda Anfield, Kenny Dalglish sebagai pengurus pasukan pada Januari lalu.
Dalglish merubah persembahan Liverpool daripada dua tangga tercorot pada era Roy Hodgson, untuk menamatkan saingan di tangga keenam. Secara peribadi, saya sendiri pun gembira kerana saya boleh dikatakan penyokong malang apabila menyaksikan kekalahan 1-2 Liverpool di tangan Blackpool semasa menonton perlawanan itu di Anfield pada 3 Oktober 2010. Persembahan Liverpool dalam perlawanan itu bagai tidak cukup nafas dan bola sentiasa terlepas. Hodgson seperti tiada formula untuk menaikkan semangat pemain setelah ketinggalan 0-1 di babak pertama. Maka hadirnya Dalglish atau disebut King Kenny, ia bagaikan suntikan vitaman untuk menewaskan keangkuhan Sir Alex Ferguson musim akan datang.
Paling manis dibawah tadbir urus Dalglish yang pendek antara Januari dan Mei lalu, Liverpool membuat kejutan menewaskan MUFC dan Chelsea dengan penuh keyakinan tatkala prestasi pasukan terumbang-ambing tanpa tonggak utama Steven Gerrard.
Keberanian Dalglish mengenengahkan pemain-pemain remaja daripada Akademi Liverpool juga membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka. Malah dalam siri lawatan ke Asia ini, pemain muda dibawa bersama dan diberi masa bermain yang sama banyak dengan barisan kesebelasan utama semalam.
Tertekan
Maka itu tidak hairanlah semasa sidang akhbar pertama Dalglish pada Khamis lalu, beliau ditanya sama ada beliau merasa tertekan dengan harapan besar menggunung daripada penyokong LFC untuk memenangi kejuaraan musim akan datang.
‘‘Saya akan mencuba yang terbaik. Saya tidak merasa tertekan. Untuk kembali menguruskan Liverpool adalah suatu penghormatan tinggi untuk saya,’’ katanya. Untuk rekod, Daglish adalah satu-satunya pemain dan pengurus yang pernah menjulang kejuaraan Liga Perdana, dan merupakan pengurus terakhir yang beroleh kejayaan itu pada 1990.
Fakta di atas menyebabkan maraknya api keyakinan para pemain dan penyokong LFC di seluruh dunia bahawa keajaiban akan mampu dihasilkan oleh Dalglish bagi musim 2011/2012. Malah, persediaan ‘perang’ terserlah dengan kesanggupan pemilik kelab memberikan dana yang setakat ini berjumlah 100 juta pounds untuk Dalglish membeli pemain merangkumi Stewart Downing yang memeterai kontraknya semalam, Charlie Adam, Jordan Henderson dan beberapa lagi.
Perlawanan semalam antara LFC menentang Malaysia hanyalah satu perlawanan pertunjukan, jika tidak pun dianggap sebagai latihan serius bagi skuad Malaysia untuk berdepan dengan saingan sebenarnya di rantau ini iaitu Singapura hujung bulan ini. Keputusan jaringan tidak memberi apa-apa makna tetapi persembahan Malaysia begitu memberangsangkan malam tadi. Saya terkilan bila ada kalangan tertentu mahu melaga-lagakan pula penyokong LFC dengan sokongan kepada skuad Malaysia. Ini tidak sepatutnya berlaku. LFC datang ke sini bagi meraikan para penyokongnya. Maka dipertemukan mereka dengan skuad pilihan Malaysia, kerana untuk mempertemukan LFC dengan juara Piala Malaysia atau Piala FA, belum tentu dapat menyakinkan FAM untuk meluluskannya. Lagipun, Liverpool sama seperti Arsenal dan Chelsea tidak mahu mana-mana pemainnya tercedera dalam siri lawatan ke Asia.
Selain itu, perlawanan persahabatan seumpamanya adalah penting bagi skuad Malaysia (senior dan skuad Olimpik) mempersiapkan diri. Ini kelebihan yang pasti menyakitkan hati Singapura kerana ‘rakan sparring’ terdiri daripada tiga kelab Liga Perdana Inggeris.
Jadi tidak seharusnya timbul isu pertindihan sokongan. Saya sendiri sebagai penyokong tegar Liverpool FC tidak terusik atau terjejas pun kesetiaan kepada skuad Malaysia. Semasa menentang Singapura dan Vietnam, saya dan bekas Editor Sukan Utusan Malaysia, Khalid Saad bersama-sama berkempen mengajak rakan-rakan dalam facebook menukar gambar dinding kepada gambar harimau. Sekarang saya mengajak anda sekalian berbuat demikian pada minggu kita bertemu Singapura nanti. Saya tidak berjalan berseorangan dengan LFC kerana Malaysia tetap teguh di hati.
Dipetik dari UTUSAN MALAYSIA ONLINE oleh penulis, Johardy Ibrahim sila ke blog beliau UTUSAN LFC
Gambar oleh Hidayat Lfc Fitri
Artikel berkaitan:
post terbaru
UserOnline
Follow our Tweet
Popular minggu ini
- Cerita Kit Warrior 2012/2013 193 view(s)
- Penajaan Kit Baru 2012/2013 96 view(s)
- Analisis pemain: Liverpool vs Malaysia XI 16 view(s)
- Segelintir pemain telah hilang hormat kami!! 13 view(s)
- Piala FA pusingan kelima "laluan mudah menanti kita" 9 view(s)

