You need to set up the menu from Wordpress admin.
Jul 18, 2011

Rangkuman Tour LFC di Malaysia…

Berakhir sudah LFCtour di Kuala Lumpur, dan kini rasa-rasanya mereka sudah tiba di Merseyside. Pelbagai rasa pahit manis dirasa sebelum, semasa dan selepas, yang penting bagi kita yang menyayangi kelab ini pasti ia menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Dengan kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil yang dikhabarkan mencecah lebih 87000 (lebih daripada kehadiran final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan) menggambarkan begitu kuatnya ‘aura’ kelab kita yang terkenal dengan sejarah ini.
Dari awal Jun lagi bahang kehadiran Liverpool ke Kuala Lumpur mula terasa hangat apabila tiket mula dijual di outlet-outlet seperti Rock Corner, Proevent dan sebagainya. Sambutan sememangnya menggalakkan tambahan inilah kali pertama Liverpool hadir ke Malaysia. Terima kasih kepada Standard Chartered kerana menjadikan ini realiti, mungkin sebelum ini kita idak berkesempatan, al-maklumlah semua tahukan siapa penaja kit kita?
Menjelang Julai, sudah mula dilihat beberapa aturcara yang dianjurkan oleh Standard Chartered dan sudah tentulah highlightnya ialah ‘LFC Fanzone’ di Pavillion yang dihias tidak ubah seperti Mini Anfield; lengkap dengan Shankly Gates, Dressing Room dan sebagainya. Sudah tentulah kesempatan ini tidak akan dilepaskan oleh peminat-peminat LFC seluruh Malaysia untuk mengambil foto (maklumlah tak semua dari kita berkemampuan nak pergi ke Anfield). Kehangatan semakin terasa bermula jam 4.00 pagi 14 Julai 2011 apabila pasukan kesayangan kita tiba di KLIA di mana sudah ada rakan-rakan kita yang menanti mereka di sana dan turut menanti mereka di Hotel One World, Petaling Jaya. Untuk pengetahuan, ada juga yang sanggup tinggal di sana. This is how we love Liverpool!
14 Julai, ketika sesi latihan suasana begitu meriah dan untuk 37,800 penonton yang hadir, kita hanya kekurangan sedikit sahaja daripada kapasiti penuh Anfield (45, 276) dan bagi pemain Liverpool kapasiti kita sewaktu sesi latihan sudah seperti perlawanan sebenar. Kali pertama melihat pengurus dan legenda tersohor Kenny Dalglish seperti bermimpi pula, sayangnya malam itu juga beliau terpaksa berlepas ke Anfield untuk melengkapkan perpindahan Stewart Downing.
15 Julai, sesi temu dan ramah peminat di beberapa lokasi menjadi tumpuan penyokong Liverpool seluruh Malaysia dan sudah tentulah yang menjadi tumpuan di Pavillion, kerana bintang kita seperti Jamie Carragher, Raul Meireles, John Flanagan, Kyrgiakos dan Poulsen berada di sana. Ribuan penyokong membanjiri sekitar Pavillion dan Raul Meireles sendiri menyatakan yang beliau mahu kembali ke sini, pastinya kerana passion yang ditunjukkan oleh penyokong Liverpool di Malaysia. Pada sebelah malamnya di Subang Grand dianjurkan Asian Kopites Festival yang mendapat sambutan meriah para penyokong Liverpool seluruh Malaysia. Syabas!
16 Julai, hari yang ditunggu-tunggu oleh kita semua. Kedengaran dari laman sosial seperti Facebook, Twitter sudah ada rakan-rakan kita yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil seawal jam 11 pagi lagi. Begitulah berkobar-kobarnya semangat rakyat Malaysia yang ingin menyaksikan pasukan kesayangan kita ini. Dan menjelang jam 2.45 petang apabila pintu masuk mula dibuka, berpusu-pusu kita masuk dan memenuhi ruang di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil. Lebih terharu apabila lagu anthem YNWA berkumandang dan dinyanyikan oleh segenap pelosok yang hadir, kadang-kadang mengimbau suasana seperti di Anfield pula. Dan apabila tiupan wisel sepak mula dibunyikan, terlihat Stadium Nasional Bukit Jalil sudah dipenuhi dengan gelombang merah, warna kit utama Liverpool FC. Menariknya, sokongan penyokong yang hadir hari itu bukan sahaja buat Liverpool tetapi semua juga sepakat menyokong skuad kebangsaan. Bilamana skuad Malaysia menyerang gawang LFC, kita semua turut bersorak pendek kata segalanya menjadi satu perlawanan yang benar-benar tidak akan dilupakan. Keputusan akhir 6-3 memihak kepada Liverpool dan tahniah kepada skuad kebangsaan kerana mempamerkan permainan yang benar-benar memberangsangkan terutamanya gol berkelas dunia yang dihasilkan oleh Safiq Rahim pada separuh masa pertama. Bagi saya, tiada pemenang atau yang kalah dalam perlawanan ini kerana perlawanan ini adalah sesuatu yang bermanfaat kepada semua – Baik dari segi penyokong Liverpool dan pemain Malaysia amnya. Apabila berakhirnya perlawanan, pasukan Liverpool melakukan laps of honour di Stadium Nasional Bukit Jalil dan ditutupi dengan nyanyian lagu anthem You’ll Never Walk Alone yang dilagukan dengan penuh emosi.
Sejarah telahpun tercipta di bumi bertuah kita Malaysia. Yang penting Malaysia tetap di hati dan Liverpool adalah minat kami.

Artikel berkaitan:

  1. Info Rasmi Tiket LFC Tour di Malaysia
  2. Malaysia sudah tidak sabar menanti Liverpool
  3. Analisis pemain: Liverpool vs Malaysia XI
  4. Rangkuman Berita Perpindahan setakat 13 Julai

Info penulis

Ijam, penulis blog yang sudah lama berkecimpung dalam penulisan artikel Liverpool. Pengalaman beliau, bersama menyokong pasukan Liverpool diterjemah dengan baik dalam penulisan beliau. Lazimnya, artikel seperti Review dan Preview setiap perlawanannya banyak mendapat pujian pembaca setia My-LFC. beliau juga antara blogger aktif di Forum My-LFC.

More in KL Asia Tour,Komen & Pendapat (1 of 6 articles)