You need to set up the menu from Wordpress admin.
Browsing articles in "EPL – laporan"
Dec 6, 2010

Preview BPL: Liverpool V Aston Villa

Info Siaran Langsung:
7 Disember 2010 (Selasa). 4 pagi. ESPN

Awal pagi Selasa nanti (waktu Malaysia), kita akan menanti kehadiran Aston Villa di Anfield, pasukan yang telah menewaskan kita 1-3 di gelanggang yang sama musim lepas. Ketika ini, Villa berada 5 anak tangga di bawah kita sekalipun hanya ada 2 mata yang memisahkan – seterusnya memberi gambaran bahawa mereka tidak mungkin akan memberi laluan mudah buat kita. Menarik tentang pertemuan ini sudah pastilah kembalinya bekas pengendali kita, Gerrard Houllier ke Anfield, nama yang pernah membimbing kita selama 6 musim dari 1998 sehingga 2004, termasuk kejayaan treble pada tahun 2001.

Namun pertemuan ‘memori Anfield‘ buat Houllier bukanlah satu-satunya agenda kerana yang penting bagi kita adalah untuk mengutip 3 mata penuh dan sekiranya terhasil, kita akan menduduki tangga ketujuh, kedudukan terbaik setakat ini di dalam musim 2010/2011 – sesuatu yang harus diingat oleh anak-anak buah RH. Suatu berita baik ialah Villa hanya menang sekali daripada 6 pertemuan terakhir liga mereka setakat ini (6 mata daripada 6 perlawanan, manakala kita menang 3 kali dalam 6 pertemuan terakhir liga) dan memberi gambaran berkemungkinan Villa di dalam keadaan “off form”, namun di dalam bolasepak segalanya adalah mungkin.

Kita mengharapkan yang terbaik dari skuad RH. Bagi kita di Malaysia, sudah pastilah kita mengharapkan pengorbanan untuk bangun pada pukul 4 pagi ‘berbaloi’ dengan kemenangan berpihak kepada kita. YNWA

Skuad Pilihan: Reina, Johnson, Kyrgiakos, Skrtel, Konchelsky, Lucas, Meireles, Kuyt, Maxi, Ngog, Torres

Nov 29, 2010

Post Review BPL: Spurs 2 Liverpool 1

Nampaknya sudah masuk musim ketiga kita tewas kepada Spurs di White Hart Lane dengan jaringan yang sama 1-2. Memeritkan kerana jaringan kedua Spurs berlaku pada masa kecederaan dan lebih memeritkan kita telah mendahului 1-0 pada separuh masa kedua. Tewasnya kita kali ini menyebabkan kita tergelincir ke tangga ke-10, dan kekal 19 mata – ketinggalan 12 mata berbanding pendahulu liga, Manchester United.

RH hanya melakukan satu pertukaran berbanding kesebelasan menentang West Ham tempoh hari, iaitu memasukkan Lucas bagi menggantikan Poulsen; manakala Joe Cole yang disebut-sebut bakal kembali perlawanan ini sebaliknya tidak berlaku kerana mengalami kecederaan buku lali ketika sesi ‘warm up’ terakhir.  Permulaan permainan agak baik, di mana kita banyak mengaturkan serangan; yang banyak dilakukan oleh Torres dan Maxi, terima kasih kepada Meireles yang memainkan peranan yang sangat cemerlang di bahagian tengah. Hasilnya kita mendahului melalui jaringan Skrtel, hasil tendangan percuma dari Meireles pada minit ke-42. Sayang selepas jaringan tersebut, kita punya 2 peluang keemasan dari Maxi dan Torres yang mana disia-siakan begitu sahaja. Pada minit ke-65, Skrtel tertampan sendiri ke pintu gol berpunca dari larian cantik Modric yang melepasi tiga pemain kita. Dan ketika kita hampir berpuas hati dengan keputusan seri, Lennon memusnahkan harapan kita dengan jaringan pada minit ke-92. Kita juga bernasib baik kerana sebelumnya penalti Defoe tersasar keluar, jika tidak keseluruhan pasti 1-3.

Selepas ini kita akan berkunjung ke Bucharest untuk perlawanan Liga Europa awal pagi Jumaat nanti dan bakal menanti kehadiran Villa di Anfield Isnin 6 Disember nanti. Minggu yang pasti meletihnya dan harapnya keputusan tewas perlawanan ini tidak merundumkan moral pemain kita. Walk On!

Skuad: Reina, Johnson, Carra (Kyrgiakos), Skrtel, Konchelsky, Lucas, Meireles, Maxi, Kuyt, Ngog (Aurelio), Torres

Nov 26, 2010

Preview BPL: Tottenham V Liverpool

Info Siaran Langsung:
Ahad, 11 malam, 817 Astro
Match Gath:
LOL Cafe, Silverspoons KD, Tropika Corner

Kita akan berkunjung ke White Hart Lane Ahad ini untuk perlawanan ke-15 Liga Perdana Barclay’s musim ini. Harus diingat kita pernah tewas 2 kali di sini 1-2 pada musim 2008/2009 dan 2009/2010; yang mana kali terakhir kita menang di White Hart Lane pada musim 2007/2008 dengan kemenangan 2-0. Sebagai perbandingan musim ini, Spurs hanya baru sekali tewas di tempat sendiri (0-1 kepada Wigan pada 28 Ogos lalu) dan kita pula hanya sekali menang di tempat lawan (1-0 Bolton, 31 Oktober). Spurs baru sahaja menang di Emirates malam Sabtu lepas, dan kita harus berwaspada pada gandingan Van Der Vaart dan Gareth Bale yang tampak berbisa akhir-akhir ini…

rekod 5 pertemuan terakhir Spurs-Liverpool:
English Premier League (EPL) ?20 Jan 2010 Liverpool 2 – Tottenham 0
English Premier League (EPL) ?16 Aug 2009 Tottenham 2 – Liverpool 1
English Premier League (EPL) ?24 May 2009 Liverpool 3 – Tottenham 1
Carling Cup ?(Carling Cup)? 12 Nov 2008 Tottenham 4 – Liverpool 2
English Premier League (EPL) ?1 Nov 2008 Tottenham 2 – Liverpool 1

Barisan Pilihan Saya: Kembalinya Cole dan Lucas ke skuad utama, diharap RH dapat mengekalkan Kuyt dan Maxi di bahagian sayap kerana terbukti kedua-duanya sangat proaktif dalam posisi berkenaan manakala Cole boleh diutilizekan di bahagian attacking midfield di belakang Torres. Meireles dijangka sekali lagi beraksi di bahagian tengah dan Lucas boleh bermain di posisi CMF atau DMF membantu Meireles atau bahagian pertahanan. Saya juga ingin menyaksikan Aurelio kembali ke kesebelasan utama walaupun kini posisi bek kiri lebih selesa diduduki oleh Konchelsky. Mungkin barisan yang diturunkan oleh RH berbeza dari yang dibayangkan di atas, namun saya membayangkan formasi di atas mungkin yang terbaik bagi menghadapi Spurs yang ditunjangi 2 tonggak merbahaya mereka, Van Der Vaart dan Bale (mengingatkan saya kepada gandingan Torres-Gerrard ketika musim 2007/2008).

Semoga kita beroleh kemenangan dan dapat mengekang kemaraan Spurs. YNWA

Nov 21, 2010

Match Review : Liverpool 3-0 West Ham



Tahniah kepada squad Liverpool dan Roy Hogson. Walaupun tanpa kelibat kapten harapan kita, S. Gerrard sekali lagi pemain yang beraksi pada perlawanan malam ini membuktikan bahawa Liverpool mampu bermain dengan prestasi terbaik dan mampu mendapat kemenangan untuk kembali mengejar kedudukan dalam tahta Liga Perdana.

Kemenangan kali ini merupakan kemenangan yang ke 5 dalam 14 perlawanan untuk musim ini. Perkara ini sekaligus menaikkan kedudukan The Reds dalam tangga Liga iaitu setakat perlawanan mala mini kini Liverpool menghuni tempat ke 9 dan berkongsi 19 mata dengan Stoke City dan Sunderland yang membezakannya ialah jumlah jaringan.

Melihat pada corak dan prestasi permainan, tampak pada separuh masa pertama Liverpool menguasai padang dengan hantaran tepat dan cubaan merbahaya ke kubu lawan. Tanpa menunggu lama G. Johnson yang baru kembali dari kecederaan meletakkan Liverpool dihadapan dengan rembatan kencang pada minit ke 18. D. Kuyt menambahkan luka West Ham United apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 27, berselang 11 minit selepas itu pemain yang memakai jersey no 17 iaitu M. Rodríguez menambahkan gol ketiga untuk Liverpool pada minit ke 38 melalui tandukan cantik hasil dari hantaran lintang Konchesky.

Pada perlawanan ini juga menyaksikan Fábio Aurélio turun beraksi selepas lama mengantung but setelah hanpir sebulan direhatkan dalam aksi Liga Perdana kerana mengalami kecederaan. Dan ini pastinya megembirakan Roy untuk memperkukuhkan squad yang tampak memerlukan pemain untuk mengokong bahagian tengah setelah ketiadaan sementara Joe cole, Gerrard dan Lucas.

Dengan kemenangan bergaya ini pastinya menambahkan semangat Liverpool untuk kembali mendapatkan momentum kemenangan, dan semestinya memberikan tonik berguna untuk mengahadapi Tottenham Hotspur di White Hart Lane minggu hadapan.

maklumat perlawanan :

LIVERPOOL: Reina, Konchesky, Johnson, Carragher, Skrtel , Poulsen, Meireles, Maxi, Kuyt, Ngog, Torres.

Subs: Jones, Eccleston, Kyrgiakos, Aurelio, Shelvey, Kelly, Babel.

Referee: L. Probert
Assistants: S. Child, C. Richards
Fourth official: A. Taylor
kehadiran penonton: 43024 orang

Nov 18, 2010

Preview BPL: Liverpool VS West Ham

Info Siaran Langsung:
21 November 2010 (Ahad). 1.30 pagi
Astro Channel 817
Matchview Gath: LOL Cafe, Tropika Corner, Silverspoons Kota Damansara

Awal pagi Ahad ini, kita akan menanti kehadiran The Hammers di Anfield di dalam perlawanan yang bakal menentukan masa depan RH. Kenapa saya katakan demikian kerana lawan yang kita hadapi nanti sedang berada di tangga terbawah persaingan liga dan sebarang keputusan yang ‘negatif’ (seri atau kalah) pasti akan menambahkan tekanan kepada RH. Pada musim lepas kita menang mudah dengan jaringan 3-0.

Berita kecederaan yang menimpa tonggak utama kita, kapten, Steven Gerrard di samping kehilangan khidmat Lucas (kad merah) serta masalah kecederaan hamstring yang masih menimpa Joe Cole pastinya memberi masalah kepada RH untuk menyediakan kesebelasan terbaik beliau bagi perlawanan ini namun berita mutakhir menyatakan pemain utama lain seperti Dirk Kuyt, Martin Skrtel, Fernando Torres dan juga Glen Johnson disahkan cergas untuk perlawanan ini nanti. Pada jangkaan saya, mungkin RH akan menggunakan formasi 4-4-2 dan harapnya akan menurunkan kembali Milan Jovanovic di bahagian sayap kiri dan meletakkan Kuyt untuk berpasangan dengan Torres di bahagian hadapan. Ketiadaan 2 tonggak tengah kita pasti akan diisi oleh Meireles serta Poulsen kali ini, jika tidak kita mungkin bakal menyaksikan pemain muda, Jay Spearing atau Jonjo Shelvey bakal mengisi bahagian ini.


*
Gerrard mengalami kecederaan ketika friendly menentang Perancis baru-baru ini. Diberitakan beliau bakal berehat selama 3-4 minggu. Ini suatu berita yang memang tidak baik buat kita.

Selamat maju jaya buat skuad kita nanti. YNWA

Barisan Kemungkinan: Reina, Johnson, Carragher, Skrtel, Konchelsky, Meireles, Poulsen, Maxi, Jovanovic, Kuyt, Torres

Nov 14, 2010

Post Review BPL: Stoke 2 Liverpool 0

Kita tewas di Stadium Britannia dengan jaringan 2-0 kepada The Potters yang  akhirnya meleburkan rekod baik selepas 5 perlawanan liga sebelum ini dan inilah juga kali pertama kita tewas kepada mereka dalam tempoh 26 tahun. Stoke City memperolehi jaringan mereka melalui perebutan di hadapan pintu gol yang disudahi oleh Ricardo Fuller pada minit ke 56 sebelum penyerang sensasi mereka Kenwyne Jones melengkapkan malam duka kita dengan jaringan kedua pada minit-minit terakhir perlawanan. Menambahkan kedukaan kita apabila pemain yang kian meningkat prestasinya kini iaitu Lucas telah diberi kad merah setelah mengutip kad kuning kedua pada akhir perlawanan.

Sebenarnya melihat aksi permainan kita malam tadi, sebenarnya Stoke City boleh dikatakan layak untuk memenangi perlawanan tersebut. Masakan tidak, dari awal-awal permainan lagi dilihat bola lebih banyak berada di kawasan kita berbanding melakukan serangan kepada pihak lawan. Rory Delap, pakar lontaran jarak jauh Stoke, sememangnya banyak membantu menghuru-harakan barisan pertahanan kita melalui lontaran yang terus ke arah pintu gol, sehinggalah akhirnya terhasil melalui jaringan pertama The Potters. Tersentak dengan jaringan tersebut barulah dilihat kita mula mengasak ke arah pintu gol gawang bertali arus, termasuk memasukkan dua penyerang lagi (Ngog dan Babel) malangnya tidak berhasil menjaringkan gol penyamaan malah jaringan kedua Jones hasil dari satu counter attack ternyata terus melengkapkan malam duka kita.

Selepas ini kita akan menanti kelab yang setakat ini menghuni tangga terbawah liga, West Ham di Anfield pada hari Sabtu akan datang. Tempoh seminggu yang menjadikan alasan kepenatan tidak akan diambil kira dan memberi peluang kepada RH untuk menganalisa semula gaya dan taktikal permainan, yang mungkin memerlukan perubahan. Kita semua tahu penyokong Liverpool adalah penyokong paling sabar di dalam dunia, namun kadang-kadang kesabaran itu juga ada hadnya. Harap RH mengerti… Walk On!

Barisan Pemain (4-4-1-1): Reina; Carragher, Kyrgiakos, Skrtel, Konchesky; Meireles (Ngog 66), Lucas, Gerrard, Maxi (Babel 73); Kuyt, Torres.

Nov 12, 2010

Preview BPL: Stoke City V Liverpool

Info Siaran Langsung
14 November. 1.30 pagi. Astro Supersport 3 (Channel 817)
Matchview Gathering: Tropika Corner, LOL Cafe

Kita akan berkunjung ke Stadium Britannia awal pagi Ahad nanti dalam pertembungan kedua di tempat lawan minggu ini, setelah kecewa di Stadium DW awal pagi lepas dengan keputusan seri 1-1, sekaligus menamatkan rekod kemenangan berturut-turut. Namun begitu, diharapkan pemain akan kembali cergas dan seterusnya berjaya memburu lagi kemenangan dalam memperbaiki kedudukan liga seterusnya mencerahkan peluang merebut kembali title “the big four” dalam Liga Perdana Barclay’s.

Persoalan adakah RH akan mengekalkan kesebelasan yang sama seperti perlawanan menentang Chelsea dan Wigan mungkin akan dilihat sedikit rombakan. Kesan keletihan pemain agak ketara dalam perlawanan awal pagi Khamis lepas dan dengan ruang hanya 3 hari mungkin ada yang masih belum mampu memberikan aksi 100% lagi. Walaubagaimanapun, saya berpendapat RH mungkin akan mengekalkan formasi 4-4-2 yang dilihat agak berkesan berbanding 4-2-3-1. Kita juga mengharapkan agar ‘duo berbisa’ kita, Gerrard dan Torres kembali ke tahap terbaik mereka kerana seperti yang kita semua sedia maklum, ‘apabila SG8 dan FT9 di tahap terbaik, Liverpool di tahap terbaik’ – tetapi tetap ditegaskan bahawa ‘teamwork’ tetap diutamakan.

Kita mengharapkan kejayaan kembali setelah merudum seketika. Kita sentiasa percaya kepada The Reds. YNWA

Barisan kemungkinan: Reina, Kelly, Carragher, Skrtel, Konchelsky, Lucas, Gerrard, Maxi, Jovanovic, Kuyt, Torres

Continue reading »

Nov 11, 2010

Post Review BPL: Wigan 1 Liverpool 1

Torres terus menyumbangkan jaringan, cubaan terbaik dari Gerrard yang hanya melantun ke palang, gol yang dibatalkan gara-gara offside dari Kuyt DAN Rodallega sekali menjadi pemusnah” begitulah episod perlawanan di Stadium DW yang mana berkesudahan seri 1-1 dengan Wigan. Tatkala ramai yang berharap agar kita mampu mengutip sekali lagi 3 mata, namun kita harus akur dengan keputusan akhir perlawanan ini dan seterusnya berharap para pemain agar dapat bangkit segera dan meneruskan rekod keputusan cemerlang dalam kunjungan kita ke Stadium Britannia awal pagi Ahad kelak.

RH tidak melakukan sebarang perubahan dalam kesebelasan yang diturunkan seperti perlawanan Ahad lepas, dan sekali lagi bermain dengan formasi 4-4-2; dengan Kuyt serta El Nino di hadapan. Permulaan yang cemerlang, hasilnya seawal minit ke-7 hasil hantaran terus dari Gerrard disudahi dengan mudah dari Torres, menjadikan kita mendahului 1-0 sehinggalah akhir separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, Rodallega memusnahkan harapan kita dengan jaringan penyamaan pada minit ke-51, hasil tampanan Reina yang terus menerjah jaring kita. Kapten kita, Steven Gerrard memperolehi 2 peluang keemasan dalam perlawanan ini, sayangnya tidak membuahkan hasil – ketika aksi 1-2 dengan Kuyt pada minit ke-15 dan yang paling mengecewakan hasil lorongan cantik Maxi pada minit ke-79 yang hanya melantun ke palang gol ketika penjaga gol Wigan, Ali Al-Habsi sudahpun tertewas.

Satu keputusan yang sebenarnya mengecewakan, kerana kita semua pasti berharapkan satu lagi kemenangan namun, itulah keputusannya. Diharap perlawanan seterusnya lebih baik dari ini – kerana secara keseluruhannya, aksi permainan adalah ‘biasa biasa sahaja’, mungkin keletihan agaknya. YNWA

Skuad: Reina, Kelly, Carra, Konchelsky, Lucas, Gerrard, Maxi (Eccleston), Meireles (Shelvey), Kuyt (Poulsen), Torres

Nov 10, 2010

Preview BPL: Wigan V Liverpool

Info Siaran Langsung
11 November 2010, 3.40 am, Channel 817 Astro

Awal pagi esok kita akan melangkah ke Stadium DW untuk perlawanan ke-12 dalam Liga Perdana Barclay’s untuk musim 2010/2011. Moral pemain kita kini dikatakan adalah di tahap tertinggi, setelah 4 kemenangan berturut – turut, termasuk yang terkini membaham Chelsea Ahad lepas.

Seperti yang dirisaukan oleh penyerang sensasi kita, El Nino, kita mampu beraksi sangat baik apabila menentang kelab-kelab utama seperti MU, Chelsea dan Arsenal; tetapi menjadi hambar apabila menentang kelab-kelab pertengahan, terutamanya ‘silent killer’ seperti Wigan
. Harus diingat kita pernah tewas di Stadium DW 0-1 bulan Mac lalu (musim 2009/2010), di mana sebelum itu kita melalui 4 perlawanan tanpa tewas.  Harapannya kini kita tidak terus dibuai kejayaan sebaliknya terus berusaha merapati jurang kepada pendahulu liga.

Berita dari Melwood telah mengesahkan Soto Kyrgiakos, Daniel Agger dan Joe Cole tidak akan menyertai kita ke Stadium DW atas masalah kecederaan, manakala Fabio Aurelio dan Glen Johnson berkemungkinan kembali ke dalam skuad nanti. Ketiadaan Soto memungkinkan Uncle Roy akan menurunkan formasi pertahanan yang sama seperti perlawanan Chelsea tempoh hari, apatah lagi prestasi pemain bawah 21 tahun England, Martin Kelly yang dilihat kian memuncak dan menunjukkan aksi yang meyakinkan. Saya menggambarkan Uncle Roy akan menurunkan 100% barisan pemain yang turun ketika menentang Chelsea untuk perlawanan ini, dan mengharapkan aksi yang mampu membuahkan kemenangan berturut-turut buat kali kelima musim ini.

Barisan kemungkinan: Reina, Kelly, Carra, Skrtel, Konchelsky, Lucas, Meireles, Gerrard, Maxi, Kuyt, Torres

Selamat maju jaya buat semua pemain. Kejayaanmu, harapan kami semua. YNWA

Nov 8, 2010

Post Review BPL: El Nino 2 Chelsea 0

Remember him? Liverpool’s No.9, Fernando Torres
Begitulah ungkapan pengulas ketika Fernando Torres menjaringkan gol kedua dalam perlawanan liga sebentar tadi, yang berkesudahan berpihak kepada The Reds dengan keputusan akhir 2-0.  Kemenangan ini juga bermakna berupakan kemenangan keempat berturut-turut kita setakat ini, setelah Blackburn, Bolton, Napoli dan yang terbaru, Chelsea. Apa yang penting, kemenangan ini memberikan kita 3 lagi mata, menjadikan keseluruhannya 15 mata, dan kita kini sudahpun naik ke kedudukan tangga ke-9 dalam Liga Perdana Inggeris.

Kembalinya Kuyt ke dalam kesebelasan utama ternyata memberi kesan yang sangat positif, masakan tidak gol pertama Torres pada minit ke-11 adalah hasil umpanan Kuyt yang bijak menewaskan John Terry dan seterusnya menembusi gawang Peter Cech, namun ternyata gol kedua Torres tadi adalah ‘kelas Torres’ yang menerima hantaran Meireles dan terus menjunam rembatannya ke gawang sebelah kiri Chelsea, yang hanya mampu dilihat tanpa aksi dari Peter Cech. Kita hampir menambahkan jaringan pada masa kecederaan namun aksi lemah Maxi Rodriguez yang ketika itu hanya berhadapan satu dengan satu dengan Cech gagal dimanfaatkan sepenuhnya.


*Gol kedua Torres
– terbaik dalam kelasnya

Rumusan perlawanan: Satu corak permainan yang sangat menarik terutamanya pada separuh masa pertama. Saya juga ingin memberi kredit kepada Lucas yang ternyata dilihat meningkat mutu permainannya, di samping Maxi Rodriguez yang dilihat semakin meyakinkan. Kredit jua buat persembahan 90 minit pemain muda Martin Kelly yang berjaya mengisi posisi bek kanan dengan cemerlang dan juga Pepe Reina yang beraksi dalam kelasnya tersendiri. Pendek kata, tahniah buat semua pemain yang beraksi sebentar tadi.

Kita akan menghadapi Wigan di tempat lawan 10 November ini dan diharapkan rekod kemenangan bakal berterusan. Kita mungkin sebenarnya sudah berada di landasan yang sebenarnya…. YNWA

Barisan: Reina, Kelly, Carragher, Skrtel, Konchelsky, Lucas, Gerrard, Meireles (Spearing), Kuyt (Shelvey), Maxi, Torres (Ngog)